Struktur asas Bunga karang

Jenis-jenis sel

    Mesofil
    Pinakosit
    Koanosit
    Lofosit
    Porosit
    Oosit
    Arkeosit
    Sklerosit
    Spikul
    Aliran air
Jenis-jenis sel utama Porifera[14]

Tubuh badan span berlubang-lubang dan dibentuk oleh mesohil, iaitu bahan seakan jeli yang terhasil khususnya daripada kolagen dan diperkukuh oleh jaringan padat serat yang juga diperbuat daripada kolagen. Permukaan dalamnya disaluti koanosit, iaitu sel-sel dengan kolar silinder atau kon yang mengelilingi satu flagelum setiap koanosit. Pergerakan flagelum berupa cemeti yang beralun-alun mendorong air melalui tubuh span. Semua span mempunyai ostium (jamak: ostia), iaitu salur-salur yang menuju ke dalam tubuh melalui mesohil. Dalam kebanyakan span, ostium ini dikawal oleh sel-sel porosit seakan tiub yang membentuk injap masukan yang bertutup. Sel-sel pinakosit seakan ceper pula membentuk kulit luar berlapis satu di seluruh mesohil yang belum disaluti koanosit. Sel pinakosit juga mencerna zarah-zarah makanan yang terlalu besar untuk memasuki ostium,[9][10] lebih-lebih lagi yang ada di tapak kaki span pula memasangkan span pada permukaan.[10]

Di dalam mesohil juga terdapat lain-lain jenis sel seperti berikut:[9][10]

  • Lofosit: sel-sel seakan ameba yang bergerak perlahan melalui mesohil dan merembeskan serat-serat kolagen.
  • Kolensit: satu lagi jenis sel pengeluar kolagen.
  • Sel rabdiferus: merembeskan polisakarida yang juga membentuk mesohil.
  • Oosit dan spermatosit: sel-sel pembiakan.
  • Sklerosit: merembeskan spikul ("duri kecil") bermineral yang membentuk rangka bagi kebanyakan span, dan bagi sesetengah spesies, memberikan perlindungan daripada pemangsa.
  • Spongosit: imbuhan atau pengganti sklerosit bagi demospan yang merembeskan sebentuk kolagen yang mempolimer jadi spongin, sejenis bahan berserat tebal yang mengeraskan mesohil.
  • Miosit ("sel otot"): mengalirkan isyarat dan menyebabkan anggota badan mengendur.
  • "Sel kelabu": bertindak sebagai sistem imun.
  • Arkeosit (atau amebosit): sel-sel seakan ameba yang totipoten, iaitu mampu berubah bentuk menjadi mana-mana jenis sel yang lain. Juga memainkan peranan penting dalam pemakanan dan pembersihan kotoran yang menyumbat ostium.

Kebanyakan larva span mempunyai mata tanpa neuron yang berasaskan kriptokrom, membantu kelakuan fototaksis.[15]

Sinsitium span kaca

    Aliran air
    Sinsitium utama
    Spikul
    Koanosinsitium
    dan jasad kolar
    menunjukkan
    dalaman

Span kaca mempunyai variasi yang berbeza daripada pelan asas span. Spikul-spikulnya diperbuat daripada silika, membentuk kerangka seakan perancah dengan batang-batang; di celah-celah batang inilah terdapat tisu hidup yang tersidari seperti sawang yang mengandungi kebanyakan jenis sel.[9] Tisu ini ialah sinsitium yang bertindak seperti banyak sel yang berkongsi satu membran luaran tunggal, ataupun satu sel dengan berbilang nukleus. Mesohil pula tiada atau minimal. Sinsitium mempunyai sitoplasma, iaitu bendalir seakan kuah yang mengisi dalaman sel, tersusun kepada "sungai-sungai" yang menyalurkan nukleus, organel ("organ" dalam sel) dan bahan-bahan lain.[18] Sebagai ganti koanosit, span kaca mempunyai sinsitia lanjutan dipanggil koanosinsitium yang membentuk kebuk-kebuk berbentuk loceng di mana air masuk melalui tebukan. Ruang dalam kebuk-kebuk ini bersalut "jasad kolar", setiap satu terdiri daripada satu kolar dan satu flagelum tanpa nukleus sendiri. Pergerakan flagelum menyedut air melalui salur-salur dalam "sawang" dan mengeluarkan air melalui hujung-hujung terbuka pada kebuk loceng.[9]

Sesetengah jenis sel mempunyai satu nukleus tunggal dan satu membran setiap butir, tetapi disambungkan dengan sel-sel nukleus tunggal yang lain dan sinsitium utama oleh "titian" yang terhasil daripada sitoplasma. Sel-sel sklerosit yang membentuk spikul itu mempunyai berbilang nukleus, dan dalam larva span kaca, ia disambungkan dengan tisu-tisu lain oleh titian sitoplasma; sambungan antara sklerosit begini belum didapati pada dewasa, tetapi ini mungkin sekadar mencerminkan kesukaran menyiasat ciri-ciri berskala kecil begini. Titian tersebut dikawal oleh "persimpangan bersumbat" yang nampaknya membenarkan sesetengah bahan untuk lalu tetapi menyekat yang lain.[18]

Aliran air dan struktur badan

Askonoid
Sikonoid
Leukonoid
    Pinakosit
    Koansit
    Mesohil
    Aliran air
Struktur badan Porifera[20]

Kebanyakan span bertindak seperti serombong, iaitu menyedut air di bawah lalu melepaskan air dari oskulum ("mulut kecil") di atas. Memandangkan arus sekitar lebih cepat di atas, kesan sedutan yang dihasilkan melalui prinsip Bernoulli sedikit sebanyak memudahkan tindakan. Span boleh mengawal aliran air dengan pelbagai kombinasi menutup sesetengah atau seluruh oskulum dan ostium sambil mengubah-ubah irama flagelum, malah boleh tutup teurs jika terdapat banyak air atau kelodak dalam air.[9]

Walaupun lapisan pinakosit dan koanosit menyerupai epitelium dalam haiwan-haiwan yang lebih kompleks, namun ia tidak terikat ketat kepada sambungan sesama sel mahupun lamina basal (helaian serat nipis di bawah span). Keanjalan lapisan-lapisan ini serta pemodelan semula mesohil oleh sel lofosit membolehkan span untuk melaraskan bentuknya sepanjang hayat untuk memanfaatkan arus air setempat dengan sepenuhnya.[21]

Struktur badan span yang paling ringkas ialah bentuk tiub atau pasu yang dikenali sebagai "askonoid", tetapi ini amat mengehadkan tumbesaran haiwan. Struktur badan bercirikan spongoselom seakan tangkal yang diselaputi oleh satu lapisan koanosit. Jika sekadar dibesarkan, maka nisbah isipadu span kepada keluasan permukaan meningkat kerana permukaan meningkat sebagai kuasa dua panjang atau lebar sedangkan isipadu meningkat setimpal pada kuasa tiga. Jumlah tisu yang memerlukan makanan dan oksigen ditentukan oleh isipadu, tetapi muatan mengepam yang membekalkan makanan dan oksigen itu bergantung pada keluasan litupan koanosit. Span askonoid jarang menjangkau diameter satu milimeter.[9]

Gambarajah span sikonoid

Sesetengah span mengatasi kekangan ini dengan menggunakan struktur "sikonoid", di mana dinding badannya berlisu-lisu. Lompang-lompang dalam lisu-lisu itu bersalut koanosit yang disambungkan dengan lompang-lompang luar lisu oleh ostium. Peningkatan jumlah koanosit meningkatkan muatan mengepam, justeru membolehkan span sikonoid untuk berkembang diameter sebanyak beberapa sentimeter.

Corak "leukonoid" meningkatkan lagi keupayaan mengepam dengan mengisi dalaman hampir penuh dengan mesohil yang mengandungi rangkaian kebuk-kebuk bersalut koanosit dan disambungkan dengan satu sama lain dan tempat masuk dan keluar air oleh tiub-tiub. Span leukonoid tumbuh sehingga diameter satu meter, bahkan pertumbuhan ke mana-mana arah meningkatkan bilangan kebuk koanosit, membolehkan span untuk mencapai banyak lagi ragam dan bentuk. Contohnya, span "menjadi kerak" yang bentuknya mengikut permukaan yang didudukinya. Semua span air tawar, dan kebanyakan span laut air cetek, mempunyai badan leukonoid. Rangkaian salur air dalam span kaca serupa dengan struktur leukonoid.[9]

Dalam ketiga-tiga jenis struktur, keratan rentas bagi bahagian bersalut koanosit adalah lebih luas daripada salur masuk dan keluar. Oleh yang demikian, aliran air lebih perlahan berdekatan koanosit, memudahkan span untuk menangkap zarah makanan.[9] Contohnya, dalam Leuconia, iaitu span leukonoid kecil setinggi 10 sentimeter dan diameter satu sentimeter, air memasuki lebih 80,000 saluran masuk selaju 6 cm seminit. AKan tetapi, oleh sebab Leuconia mempunyai lebih daripada 2 juta kebuk berflagelum yang jumlah diameternya lebih besar daripada salur-salur, maka aliran air melalui kebuk memperlahan kepada 3.6 cm sejam, memudahkan koanosit untuk menangkap makanan. Semua air dilepaskan melalui satu oskulum selaju 8.5 cm sesaat, cukup laju untuk mengangkut bahan kumuh sejauh-jauh mungkin.[22]

    pinakosit
    koanosit
    arkeosit dan sel-sel lain dalam
    mesohil
    mesohil
    spikul
    dasar laut / batuan
    aliran air
Span dengan rangka kalsium karbonat[9]

Rangka

Dalam bidang zoologi, rangka ialah sebarang struktur yang cukup keras dalam haiwan, tidak kira sama ada ia bersendi-sendi atau tidak, dan tidak kira sama ada ia biomineral atau tidak. Mesohil berfungsi sebagai rangka dalam bagi kebanyakan span, dan ia merupakan satu-satunya rangka dalam span lembut yang menyelaputi permukaan keras seperti batu. Umumnya, mesohil dikeraskan oleh spikul mineral, serat spongin atau kedua-duanya sekali. Spikul yang terdapat dalam kebanyakan (bukan semua) spesies,[23] mungkin diperbuat daripada silika atau kalsium karbonat, malah terdapat pelbagai bentuknya sama ada batang-batang rod yang ringkas mahupun "bintang-bintang" tiga dimensi yang pecah enam. Spikul dihasilkan oleh sel-sel sklerosit,[9] didatangkan secara berasingan, bersambungan dengan sendi, atau berlakuran.[8]

Sesetengah span juga merembeskan rangka luar yang terletak di luar komponen-komponen organiknya sepenuhnya. Contohnya, sklerospan ("span keras") mempunyai rangka luar kalsium karbonat yang berleluasa di mana jirim organik membentuk lapisan nipis dengan kebuk-kebuk koanosit dalam lekuk-lekuk mineral. Rangka luar ini dirembeskan oleh sel-sel pinakosit yang membentuk kulit span.[9]

Berkaitan

Rujukan

WikiPedia: Bunga karang http://www.qm.qld.gov.au/Collections/Biodiversity+... http://www.qm.qld.gov.au/Find+out+about/Animals+of... http://www.qm.qld.gov.au/Research/Biodiversity/Are... http://www.cbc.ca/news/canada/british-columbia/4-n... http://www.biology.ualberta.ca/courses.hp/zool250/... http://findarticles.com/p/articles/mi_qa3790/is_20... http://findarticles.com/p/articles/mi_qa3790/is_20... http://books.google.com/?id=OQoxzqjQXWEC&pg=PA220 http://www.mapress.com/zootaxa/2008/f/z01752p065f.... http://webdoc.sub.gwdg.de/pub/geo/geobiologie/2005...